Thursday, 6 February 2020

ESEG5033 : PENGGUNAAN APLIKASI QUIZIZZ DI DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN


Pengajaran yang menarik dapat menarik perhatian dan minat pelajar. Ia juga dapat meningkatkan keterlibatan pelajar di dalam setiap pembelajaran. Tidak syak lagi, landskap dunia pendidikan kini telah berubah. Sesuai dengan gaya hidup dan kehendak generasi Z pada masa kini yang lebih cenderung kepada gadjet, tablet dan pelbagai peranti elektronik.

Ekoran daripada itu, pelbagai perisian dan aplikasi yang menarik telah dibangunkan oleh jurutera-jurutera perisian bagi memudahkan pelajar berinteraksi dan berhibur sambil belajar di dalam aktiviti pembelajaran mereka.

Quizizz banyak membantu guru dari sudut penjimatan masa. Seperti mana yang kita ketahui, tugas guru bukan sahaja mengajar. Akan tetapi merangkumi skop kerja yang lebih luas. Kadangkala menjadi seorang ketua untuk menguruskan organisasi, kadangkala juga menjadi seorang ibu ayah buat anak didik mereka.

Quizizz dapat membantu para guru melalui pengumpulan segala bentuk fail dan bermacam-macam jenis bentuk soalan. Soalan-soalan ini juga kebanyakannya telah ‘diupload’ oleh guru-guru di seluruh Malaysia. Hal ini membolehkan guru berkomunikasi secara maya dengan pembangun soalan tersebut.

Selain itu, Quizizz dapat menarik minat pelajar dan membuatkannya menjadi lebih santai dan menarik. Hal ini dapat dibuktikan apabila Quizizz sendiri memasukkan elemen-elemen suara latar ketika soalan yang dijawab itu betul. Soalan yang betul itu dijawab dengan ucapan ‘Well done’, tahniah dari aplikasi itu sendiri. Penghargaan seperti inilah sangat memainkan peranan ketika mana ingin menyuntik semangat kepada pelajar-pelajar yang lemah ketika sesi pembelajaran di dalam kelas.


CARA MENGGUNAKAN QUIZIZZ

Cara menggunakan aplikasi online ini, sama sahaja seperti aplikasi yang lain. Mana-mana aplikasi memerlukan pelajar untuk membuat log masuk ke dalam akaun mereka. Hal ini bagi memudahkan pelajar untuk memantau akaun mereka sendiri. Bagi pelajar yang tidak mempunyai akaun Quizizz. Bolehlah membuat pendaftaran baru diruangan ‘sign up’. Sebelum itu, pastikan laman web yang dilayari mestilah betul. Laman web tersebut ialah www.quizizz.com.

Pendaftaran ini, memerlukan pelajar untuk mempunyai akaun emel mereka sendiri. Sebaiknya, gunalah akaun www.gmail.com. Selepas itu, pelajar boleh mendaftarkan akaun emel mereka ke dalam ruangan pendaftaran baru Quizizz. Anda disarankan untuk memasukkan kata laluan yang mudah untuk diingati agar tidak lupa di kemudian hari.


Akaun yang telah berjaya didaftarkan, pihak Quizizz akan menghantar emel pengesahan kepada emel yang telah didaftarkan tadi. Para pelajar, hanya perlu buka ‘inbox’ emel mereka dan klik pengesahan tersebut. Tahniah. Anda sekarang boleh log masuk ke dalam akaun Quizizz anda. Ianya sangat mudah dan tidak perlu mengambil masa yang lama.

Untuk permulaan penggunaan. Para pelajar boleh mencari di ruangan carian, segala jenis mata pelajaran mengikut tingkatan semasa. Sebagai contoh, Subjek Bahasa Arab Tingkatan 2. Pelajar boleh memilih, set soalan yang mana mereka berminat untuk menjawab. Set soalan ini, telah diupload dan dikongsi oleh pembangun dan pembina soalan secara maya. Pelajar boleh memilih untuk menjawab soalan subjektif mahupun objektif.



Pelajar boleh berulang kali menjawab soalan tersebut, meskipun mereka telah menjawabnya sebelum ini. Dengan cara ini, ianya dapat mendidik pelajar membuat latih tubi secara konsisten seterusnya menghilangkan rasa putus asa dan cepat jemu. Lebih menarik lagi, setiap soalan diselangi dengan sela atau tempoh masa. Sebagai contoh, setiap satu soalan diberikan masa menjawab selama 20 saat. Masa tersebut dipaparkan di skrin komputer mereka. Hal ini memberikan mereka rasa teruja dan menyahut cabaran agar menjawab kurang dari masa tersebut.

Selain itu, seandainya pelajar menjawab dengan jawapan yang tepat, akan terpapar di skrin komputer mereka pelbagai animasi dan gambar diiringi dengan muzik latar yang menunjukkan bahawa dia ialah seorang yang hebat dan terbaik. Sudah tentu, ianya menarik minat pelajar untuk terus berkobar-kobar menjawab soalan yang lain.

Bagi menambahkan lagi rasa keterujaan pelajar, Quizizz menyediakan kemudahan untuk menjawab set soalan yang sama, waktu yang sama dan bilangan pelajar di dalam kelas yang sama.
Sebagai guru, saya lebih tertarik untuk menggunakan kemudahan ini. Kemudahan ini dinamakan Quizizz host. Ini kerana, saya dapat melihat kemampuan pelajar, markah dan mata yang mereka kumpul melalui komputer guru sahaja. Tanpa perlu berjalan dan melihat kepada komputer pelajar seorang demi seorang.


Suasana pembelajaran menggunakan Quizizz

Saya akan menjadi admin ataupun membina ‘host’ tersebut. Ianya boleh juga dianggap sebagai rangkaian kumpulan. Kemudian, selepas ‘host’ tersebut berjaya diwujudkan, akan terpapar kunci rahsia yang terdiri dari beberapa angka. Kunci rahsia ini, membolehkan hanya pelajar kelas tersebut sahaja yang menyertainya. Ia juga memudahkan guru untuk memantau bilangan pelajar yang dikhaskan. Pelajar diminta untuk memasukkan kunci rahsia tersebut ke dalam ruangan akaun mereka. Seterusnya, mereka akan memasuki ke dalam rangkaian tersebut bersama-sama dengan pelajar lain yang mempunyai kunci rahsia itu.


kunci rahsia

Saya membuat kiraan agar pelajar bersedia. Selepas itu, saya menekan butang ‘start’. Apabila butang ini ditekan, maka semua pelajar yang berada di dalam rangkaian itu, mula menjawab soalan yang diberikan mengikut tempoh masa yang ditetapkan. Mereka juga akan menerima notifikasi akan kedudukan semasa mereka. Apakah berada di kedudukan teratas ataupun sebaliknya.

Selesai sahaja soalan tersebut dijawab, masa yang diberikan juga telah tamat. Saya membuat penilaian berdasarkan keputusan mereka. Di sini, alangkah terkejutnya, terdapat pelajar yang pendiam di dalam bilik darjah, kurang aktif memberikan respon ketika dalam kelas, akhirnya berjaya mendapat kedudukan yang teratas berbanding pelajar-pelajar yang lain. Pelajar ini mula menunjukkan penglibatannya serta kemampuannya apabila sesi pembelajaran menggunakan komputer. Tambahan pula, pembelajaran ini diintegrasikan dengan menggunakan aplikasi Quizizz yang lebih ceria dan interaktif.

keputusan pencapaian pelajar

Kesimpulannya, saya berpendapat bahawa,

  •   Sesi pembelajaran akan menjadi lebih santai dan menarik
  •   Set soalan diperoleh dengan pantas dan mudah
  •   Mudah untuk digunakan. Tidak terhad kepada penggunaan komputer, malah ianya dapat   diakses melalui peranti yang lain seperti telefon pintar dan tablet
  •   Pelajar akan lebih berdaya saing bagi mendapatkan mata tertinggi dan kedudukan teratas   mengikut kepada akaun yang telah mereka daftarkan
  •   Guru dapat menyumbangkan kemahiran untuk membina set soalan secara online dan       memaparkannya secara umum kepada guru-guru yang lain


ESEG5033 : PENGGUNAAN PADLET SEBAGAI ‘PAPAN MAYA’ DI DALAM KELAS SECARA DIGITAL



Pada zaman globalisasi ini, pelbagai kemajuan telah kita lihat. Kemajuan ini juga telah dicapai dan dapat dirasai bersama-sama. Perubahan demi perubahan yang berlaku secara drastik serta kemajuan peningkatan teknologi, kecanggihan elektronik, kepesatan industri pembinaan dan pembangunan serta kelajuan teknologi dalam pembuatan industri automotif.

Tidak lupa juga, perubahan dan peningkatan teknologi ini telah mula berkembang sehingga ke bahagian pendidikan. Dunia telah mula berubah. Sehingga wujudnya istilah dunia tanpa sempadan. Yang berada di timur boleh mengetahui di barat. Yang berada di selatan boleh mengetahui tentang apa yang berlaku di utara.



Alangkah ruginya, jika kepesatan teknologi ini, tidak dimanfaatkan ke dalam bidang pendidikan. Alangkah malangnya jika kemajuan teknologi ini tidak digunapakai di dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Pengeluaran produk berubah-berubah sesuai dengan perubahan permintaan dari pengguna dan pembeli. Begitu juga di bahagian pendidikan, perubahan teknik pengajaran juga berubah mengikut perubahan kehendak pelajar.

Kata Saidina Umar Al-Khattab. Didiklah anakmu sesuai dengan zam
annya, kerana mereka membesar bukan pada zamanmu. Oleh kerana itu teknologi di dalam pengajaran dan pembelajaran amatlah bersesuaian dengan zaman pelajar-pelajar pada masa kini dan ianya perlulah dipraktikkan bersama.


Padlet merupakan suatu bentuk aplikasi yang memudahkan pelajar untuk mengumpulkan segala bentul hasil kerja mereka ke dalam suatu tempat yang sama. Ia juga bertindak sebagai medium pemudah cara bagi pelajar-pelajar untuk mempamerkan hasil kerja dan karya mereka.

Dahulunya, padlet dikenali sebagai Wallwhiser. Ia merupakan suatu bentuk aplikasi papan interaktif. Papan interaktif ini, juga dikenali sebagai ‘dinding maya’ berfungsi sebagai ruangan yang membolehkan para pelajar dan guru berkongsi segala maklumat seperti audio, video, gambar, teks dan pautan URL. Mereka dapat mengakses dan melihat semua maklumat yang telah dikongsi sama ada dari guru dan rakan mereka. Seterusnya membolehkan mereka untuk saling melontarkan idea dan pemikiran sesama sendiri.

Oleh hal demikian Padlet telah menjadi salah satu aplikasi yang popular saat ini di dunia. Sebelum ini, kita selalu mendengar akan aplikasi seperti ‘google drive’ dan ‘dropbox’ yang fungsinya sebagi storan maklumat. Akan tetapi, kedua-dua perisian ini tidak dapat berfungsi secara terus dan kebanyakannya digunakan secara peribadi dan privasi.


Bagaimana saya menggunakan Padlet di dalam pembelajaran pelajar

Jika kita lihat pada entri saya yang terdahulu, saya menerangkan kepada pelajar tentang tatacara membuat Khat Khufi menggunakan MS Excel. Bagaimana saya dan pelajar-pelajar dapat melihat hasil karya kawan-kawan mereka yang lain? Oleh yang demikian, kemudahan yang terdapat pada Padlet telah memberikan saya inspirasi untuk menggunakannya.

Sudah tentu, sebarang penggunaan aplikasi yang berlegar di ruangan internet ini memerlukan pendaftaran dan pengesahan emel mereka. Oleh kerana itu, saya meminta agar pelajar-pelajar untuk mendaftar akaun mereka terlebih dahulu sebelum menggunakannya. Setelah mereka berjaya mendaftar akaun masing-masing, barulah mereka dapat mengoperasikan akaun mereka sendiri.

Pelajar diminta untuk memasukkan kod atau link akaun padlet guru. Kod ini bagi memudahkan pelajar-pelajar untuk mengakses rangkaian yang telah dibina oleh guru, agar tidak terlepas sebarang nota yang telah dikongsi oleh guru ataupun dapat melihat hasil kerja dan karya rakan-rakan sekelas mereka yang lain.

suasana penggunaan aplikasi Padlet di dalam pengajaran dan pembelajaran

Pelajar-pelajar juga dapat memberikan komen pada hasil karya yang telah dikongsikan oleh orang lain. Selain itu, sekiranya terdapat paparan yang terdapat di ruangan tersebut yang kurang difahami oleh mereka, pelajar terus boleh mengajukan pertanyaan di situ. Hasilnya, mereka akan mendapat penerangan yang jelas dan jawapan kepada pertanyaan mereka sebentar tadi.

Selain daripada itu, pelajar dapat menilai dan memberikan idea yang positif dari hasil kerja orang lain, agar di masa akan datang nanti, mereka mampu menghasilkan karya yang menarik dan penuh inovasi. Maka, dari situ bermulalah kesedaran akan kesilapan dan kekurangan mereka agar ianya dapat diperbaiki. Jika hasil mereka tidak mempunyai kesilapan. Perbandingan ini dapat melahirkan rasa penghargaan kepada hasil kerja dan pendapat orang lain dengan meletakkan pujian dan ucapan tahniah.

Kesimpulannya penggunaan padlet:

  • Menggalakkan penyertaan dari semua pelajar
  • Semua pelajar dapat memberikan idea dan komentar mereka yang bernas
  • Pelajar dapat menjadikannya sebagai rujukan tidak kira masa
  • Pembelajaran menjadi lebih mudah dan menarik kerana segala pautan boleh disertakan bersama seperti gambar, audio, corak dan lain-lain
  • Membentuk pelajar lebih menghargai pelajar lain sama ada dari hasil kerja mereka mahupun menghormati idea mereka melalui kaedah perkongsian

ESEG5033 : PENGGUNAAN MS EXCEL SEBAGAI ALAT BANTU MENGAJAR



Microsoft Excel (MS Excel) ialah suatu perisian hamparan kerja (spreadsheet) elektronik. Ianya digunakan untuk menyimpan dan mengubah data. Data-data ini kemudiannya disunting dan dipaparkan dalam bentuk yang lebih tersusun dan mudah untuk dilihat seperti bentuk jadual, carta mahupun graf. Selain itu, ia juga dapat ditambah dengan sebarang bentuk pengiraan Matematik seperti darab bahagi, tambah tolak dengan mudah, pantas dan tepat.

KELEBIHAN APLIKASI MS EXCEL DALAM PEMBELAJARAN

  • Mudah untuk diakses dan diuruskan.
  • Tidak tertumpu hanya kepada satu tujuan penggunaan sahaja.
  •  Pelajar dan Guru berpeluang memvariasikan corak, warna, dan bentuk kotak tulisan.
  •  Memberi idea yang baru kepada pelajar tentang idea penggunaan MS Excel.
  •  Menimbulkan rasa teruja melalui perisian yang dianggap mudah ini, tetapi mampu membina keunikan dan kelainan.

Ramai dikalangan pengguna komputer khususnya dikalangan guru dan pelajar yang beranggapan bahawa, MS Excel ini, hanya digunakan untuk membuat jadual sahaja. Namun, hakikatnya tidak semua yang mengetahui ianya mempunyai kelebihan tersendiri. Kelebihannya itu telah saya gunakan sebagai medium untuk mempraktikkan pelajar dalam memahirkan diri bagi penguasaan penulisan Khat Khufi.

pelajar sedang tekun membuat Khat Khufi

PENGGUNAAN MS EXCEL SEBAGAI MEDIUM PENULISAN KHAT KHUFI

Sebagai seorang guru, saya perlulah mendedahkan tentang kaedah yang mudah dan terkini. Di mana, kaedah tersebut mudah difahami oleh pelajar. Di samping itu, kaedah tersebut seharusnya sejajar dengan penggunaan teknologi di dalam sesi Pdp.
Umum mengetahui bahawa, penulisan Khat Khufi ini agak unik dan penuh dengan kesenian. Pada mereka yang tidak mengetahuinya, pasti akan merasakan bahawa penulisan khat tersebut mestilah ditulis menggunakan pen, pembaris dan pensil warna.
Tidak terkecuali juga, kepada pelajar-pelajar saya, mereka juga menyangka akan hal yang sedemikian. Pendedahan ini, memudahkan mereka untuk mula berkarya menggunakan perisian ini dan dapat digunakan pada bila-bila masa di mana jua mereka berada.


di antara hasil karya seni pelajar menggunakan aplikasi ini

Langkah Pertama: Pelajar perlu klik perisian ‘MS Excel’

Langkah Kedua:    Pelajar mengikuti langkah demi langkah mengikut arahan berdasarkan tutorial                                       yang diberikan

Langkah Ketiga :   Pelajar perlu memilih keliling beberapa kotak kecil yang terdapat di ruangan                                         aplikasi ini. Kotak-kotak ini akan dijadikan sebagai bingkai

Langkah Keempat: Pelajar memilih beberapa kolum yang sesuai dan barisan untuk dijadikan sebagai                                  tempat untuk ditulis khat ini.

Langkah Kelima:    Kotak yang berada di bahagian penjuru kiri kanan bahagian atas dan bawah akan                                  digunakan untuk dihias sebagai corak

Langkah Keenam:  Pelajar mempamerkan hasil kerja Khut Khufi menggunakan MS Excel kepada                                      guru

Video Penggunaan MS Excel di dalam sesi PdP

Kesimpulannya, MS Excel merupakan suatu perisian yang mesra pengguna. Di samping boleh digunakan untuk kerja-kerja pejabat. Ianya juga mampu dijadikan sebagai alat untuk menulis Khat Khufi. Kebanyakan perisian yang dibina oleh Syarikat Microsoft, sangat dekat dengan hati pengguna komputer yang lain. Perisian ini sangat mudah untuk dioperasikan dan tidak memerlukan komputer yang berteknologi tinggi.

RESPON PELAJAR BERKENAAN PENGGUNAAN MS EXCEL DI DALAM SENI PENULISAN KHAT KHUFI

Maklum balas pelajar berkaitan aplikasi ini

Wednesday, 5 February 2020

HUBUNGAN TEKNOLOGI DALAM PENDIDIKAN


Menjadi seorang guru pada hari ini, amatlah berbeza pada 30 tahun yang lalu. Segala bahan mengajar yang digunakan juga berbeza. Begitu juga dengan pelajar-pelajar pada hari ini, sungguh jauh perbezaan mereka jika ingin dibandingkan dengan situasi pelajar yang dulu. Bukanlah perbezaan itu diungkapkan dari sudut paras rupa, pakaian dan ragam mereka. Namun perbezaan yang dimaksudkan ini, lebih tertumpu kepada bahan bantu mengajar yang boleh menarik minat mereka ketika sesi pembelajaran di dalam kelas.
 

Keserasian sumbangan idea dari pakar meskipun tidak berlatar belakangkan pendidikan.

Pelbagai perisian dan aplikasi menarik yang telah dibangunkan oleh ‘software engineer’ dan ‘programmer’ bagi memudahkan dunia pendidikan sekarang. Meskipun mereka ini, bukanlah individu yang berijazah pendidikan, namun mereka dapat menyumbangkan segala bentuk program dan aplikasi yang menarik untuk digunapakai oleh semua lapisan pelajar. Selain itu, segala kemudahan ini juga boleh didapati secara terus melalui web carian google sahaja tanpa perlu menginstall terlebih dahulu ke dalam komputer.

Pengembangan idea dan ilmu pengetahuan

Berbanding dengan kaedah dan teknik pengajaran pada masa lalu, ianya lebih tertumpu kepada kemahiran dan kepakaran guru. Guru akan menerangkan di hadapan dan menulis di papan hitam manakala pelajar pula melihat buku teks sambil mendengar penerangan dari guru. Akan tetapi, suasana pembelajaran ini akan berubah apabila terdapat elemen-elemen dan pengaruh teknologi di dalam pembelajaran mereka. Sebagai contoh, apabila teknologi dipraktikkan di dalam pengajaran dan pembelajaran, pengetahuan pelajar tidak tertumpu hanya kepada buku teks dan penerangan dari guru.

Mereka juga boleh mendapatkan maklumat dari sumber-sumber yang sahih dan jelas berkaitan dengan segala jenis mata pelajaran yang mereka minati. Pengetahuan mereka tidak terhad. Hal ini kerana, mereka boleh menambah pengetahuan dengan lebih terperinci dan menarik meskipun tidak pernah menjejakkan kaki ke negara tersebut seandainya mereka diminta untuk menceritakan tentang keadaan di sesebuah negara lain.

Meningkatkan kemahiran dan bakat terpendam

Teknologi yang dipraktikkan di dalam pengajaran dan pembelajaran, mampu untuk menaikkan semangat pelajar seterusnya memberikan peluang kepada mereka untuk bersaing dan menilai kelebihan diri masing-masing. Kadangkala, mereka tidak tahu kecenderungan dan kemampuan sendiri sehinggalah mereka berhadapan dengan suasana pembelajaran yang berkonsepkan ‘e-learning’. Kemahiran ini juga dapat dikembangkan dengan kecekapan mereka mengoperasikan sebarang bentuk perisian dan peralatan elektronik dari masa ke semasa.

UCAPAN PENGHARGAAN DAN TERIMA KASIH

Sebelum saya meneruskan lagi coretan dan penerangan lebih mendalam. Terlebih dahulu ingin saya mengucapkan rasa penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada kedua ibu bapa tersayang yang telah membesarkan dan mendidik sehingga menjadi manusia yang berguna. Ucapan ini juga buat isteri tercinta yang memahami kerjaya sang suami dan sabar dalam apa jua keadaan. Seterusnya terima kasih saya ucapkan kepada guru-guru yang pernah mengajar saya dari bangku tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah. Sudah tentu, ucapan terima kasih ini diberikan lagi kepada pensyarah-pensyarah yang telah banyak berkongsi ilmu pengetahuan, mengajar dengan penuh keikhlasan dan kesabaran. Semoga sentiasa didalam rahmat dan kasih sayang Nya.



ESEG5033 : PENGGUNAAN APLIKASI QUIZIZZ DI DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Pengajaran yang menarik dapat menarik perhatian dan minat pelajar. Ia juga dapat meningkatkan keterlibatan pelajar di dalam setiap pe...